Wednesday, May 30, 2018

FIKIRKAN UNTUK JANGKAMASA PANJANG JIKA BANGUNKAN RESTORAN

Assalamu'alaikum wbt dan salam sejahtera buat semua pengunjung blog saya.

Sudah lama rasanya saya tidak menulis di blog ini. Harapan saya semoga semuanya sihat-sihat belaka.

Baru-baru ini saya telah diminta oleh seorang pengusaha restoran untuk saya buatkan pemeriksaan ke atas restoran beliau bagi mendapatkan Persijilan HALAL. Hasil daripadanya didapati banyak tindakan pembetulan yang perlu dilakukan oleh beliau sebelum diteruskan bagi memperolehi persijilan HALAL dan ianya memerlukan perbelanjaan yang bukan sedikit.

Kesilapan utama yang telah dilakukan oleh kebanyakan restoran yang menyebabkan mereka agak sukar untuk mendapatkan HALAL adalah kerana mereka tidak merancang lebih awal plan susun atur yang betul mengikut spesifikasi keselamatan makanan dan halal contohnya dapur yang terbuka dan terdedah kepada burung-burung yang bebas berterbangan keluar dan masuk di kawasan memasak. Walaupun ianya satu keunikan tetapi ianya tidak membantu dalam menghasilkan makanan yang bersih dan selamat.

Pada asasnya premis seharusnya direkabentuk seperti berikut:
  1. Pencemaran diminimumkan
  2. Reka bentuk dan susun atur memudahkan penyelenggaraan, pembersihan dan penyahjangkitan.
  3. Meminimumkan pencemaran yang disebabkan udara
  4. Diperbuat daripada bahan terutamanya yang bersentuhan dengan makanan, tidak toksik , mudah diselenggara dan dibersihkan.
  5. Dan mempunyai langkah bagi mencegah kemasukan dan pembiakan makhluk perosak.
  6. Kedudukan jauh daripada punca pencemaran seperti tangki septik, kolam pengudaraan, tapak pelupusan sampah, kawasan penternakan ayam dan lain-lain lagi.
  7. Bekalan air juga perlu mencukupi dan terlindung daripada sebarang pencemaran. 
Banyak lagi penrinciannya yang perlu dilihat satu persatu. Seandainya pertimbangan diambil kira daripada peringkat awal lagi penubuhan sesebuah restoran, kos untuk penambahbaikan dapat dikurangkan dan proses bagi mendapatkan Persijilan HALAL akan jadi lebih mudah.